Selasa, 27 Oktober 2009

Kisah Aku & Dia



Inilah suamiku. Gambar yang ramai-ramai tu diambil pada Hari Raya Aidilfitri 2009. Sebelah suamiku adalah mak sedara dia. Sebelah tepi sekali tu adalah mak mertua aku, Puan Sa'adah. Gambar aku ngan suami aku tu anak aku -Hafizah, amik pagi nie 27.10.2009. Anak aku kata.... "Eh eh, abah dah ada kaki semula la". Gelak aku ngan laki aku dengar dia kata gitu. Aku pun apa lagi terus amik kamera minta anak aku tu amik gambar. Suamiku hari nie ada appointment pasal business ngan kawan dia. Tu yang pasai smart. Kalau tak, pakaian hari-hari dia cam dalam gambar raya tu ler.
Sebenarnya dulu suami aku adalah seorang yang sempurna sifat fizikalnya. Masa dia ngorat aku, dia masih mempunyai anggota yang cukup. Dia tu dulu bos aku. Dia ditimpa kemalangan pada tahun 1998. Masa tu aku sedang cuti bersalin. Anak sulung kami masa tu baru berusia 40 hari. Hanya ALLAh sahaja yang tahu betapa sedihnya hatiku apabila mendapat panggilan dari seseorang yang tidak dikenali mengatakan suamiku berada di hospital 'koma'. Sejak itu juga berlaku perubahan besar dalam hidup kami. Aku hanya mampu bertawakal kepada ALLAH di atas segala apa yag berlaku. Bergegas aku ke Hospital Sultanah Aminah membawa bayi yang berusia 40 hari untuk melihat ayahnya. Waktu itu aku tiada sesiapa untuk kupohon bantuan pergi ke Hospital. Maklum sahaja saudara mara kami jauh. Keluargaku di Batu Pahat, keluarga suami di Perak. Maka terpaksa aku menggagahkan diri untuk melawat suami di Hospital bersama bayiku sahaja dengan kadar segera. Sampai sahaja di hospital, kulihat suamiku terkulai layu tidak bermaya. Doktor maklumkan untuk melakukan pembedahan, dan waktu itu juga doktor menyatakan harapan untuk suamiku adalah 50-50. Aku berdoa tidak putus-putus. Airmata tumpah kalau ditadah berbaldi-baldi rasanya. Aku berdoa " Ya ALLAH! sekiranya hidupnya membawa kebaikan, panjangkanlah usianya, jika hidupnya kelak membawa kemudharatan aku redha KAU ambil nyawanya ya ALLAH". Syukur Alhamdulillah, pembedahan ke atas suamiku semuanya selamat. Dan aku yakin, nyawa di jasad suamiku yang ALLAH beri adalah membawa kebaikan. Aku yakin dengan doaku yang telah dimakbulkan ALLAH. Syukur Alhamdulillah. Sejak itu, aku tidak menoleh kebelakang lagi, sedaya upaya aku memberikan moral support kepada suamiku. Diperingkat awal dia kehilangan kaki kanannya sehingga atas paras lutut, adalah satu hal yang amat sukar untuk dirinya. Semangat dirinya jatuh, hidup baginya kabur. Dia hilang kaki, hilang pekerjaan. Ku tiupkan semangat dalam dirinya, kunyatakan " Abang ada MIN & HAFIZ ". Kami perlukan abang untuk bersama-sama kami.
Hampir setahun kami terpisah, suamiku dijaga ibunya di Tapah, Perak. Aku dan anakku tinggal di Johor Bahru. Setiap bulan aku ambil cuti untuk datang berjumpa suamiku di Perak dengan menaiki keretapi, stesen KTMB Johor Bahru - Tapah. Perhubungan awam ini memudahkan aku melawat suamiku setiap bulan. Aku tidak kisah dengan kepayahan itu, yang penting hatiku puas dapat memberi moral support dan dapat berjumpa dengan insan yang aku sayang, kasih dan cinta selamanya. setelah suamiku benar-benar sembuh dan semangat dirinya sudah mula meningkat, kami kembali hidup sebumbung di Johor Bahru. Syukur Alhamdulillah, ujian itu dapat kami hadapi dengan tabah.
Itu kisah 11 tahun yang lalu. Susah memang susah. Namun aku amat bersyukur kerana di dalam kepayahan itu, ALLAH memberikanku kecekalan dan ketabahan hati untuk menghadapinya.
Aku bersyukur ALLAH masih panjangkan jodoh kami hingga ke hari ini. Walau apapun cabaran, rintangan dan dugaannya, Semoga jodohku bersama suamiku kekal dunia dan akhirat.
" Suamiku, selagi kau masih mahu aku menjadi isterimu, selagi itulah aku akan terus berkhidmat sebagai seorang isteri, semoga khidmatku untukmu dapat kau terima seikhlas hati kerana aku insan yang banyak mempunyai kelemahan dan kesilapan. Bimbinglah aku, pimpinlah aku untuk terus melangkah di dunia yang fana ini menuju ke destinasi yang diredhai Rabbul Izzati ( ALLAH pemilik segalanya )."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan