Khamis, 14 Mei 2009

Sekadar Impian

Sayang, pagi ini terlalu rindukanmu, amat rindu. Dirimu bagai mentari pagi yang indah, dirimu bagai embun pagi yang menyegarkan namun dirimu jua bagaikan bayang-bayang yang akan hilang bila malam berlabuh.
Detik beredar, saat berlalu. Di sini ada keluhuran cinta, bersemadi teguh dalam hati, di sini ada kekuatan kasih, ada kepercayaan, biar simpuh tak terungkai, biar getaran tak senada, aku tahu aku sayang padamu setulus hati. Kerinduan adalah janji yang dilafazkan dalam hati, tak bersuara, tak tertulis, tak terputus walaupun berjauhan, tak berubah walaupun masa terus berputar.
Izinkan jantung ini berdegup lagi, bila tersebut namamu. Izinkan hatiku bergetar bila merentasi lautan rinduku, rasakan dingin udara di sekelilingmu kerana ia adalah kiriman sayangku.
Wahai diri yang sedang merindui, apabila kita mencintai seseorang sebenarnya kita telah pun merelakan hati dilukai, apabila kita telah menyayangi seseorang sesungguhnya kita telah pun membenarkan diri dibenci. Apabila kita terlalu merindui seseorang kita telah pun bersedia untuk dilupakan meskipun amat terseksa tapi itulah hakikat hidup, pengajaran yang perlu dirasai bila kasih telah berbalas. Ada masanya kita tak perlu lagi menoleh ke belakang andainya sejarah silam hanya melukakan hati namun ada ketikanya kita perlu mengingati biarpun terasa pedih kerana ada seseorang yang bermakna menghiasi pengalaman hidup yang pernah kita lalui.
Ada masanya kita terpaksa lepaskan peluang yang lalu di depan mata, ada waktunya kita terpaksa lepaskan sesuatu yang tak mungkin kita miliki, kerana selalunya hakikat hidup tak sama dengan kebetulan yang kadangkala tak disangka.
Kadangkala apa yang kita inginkan tak akan sama dengan apa yang kita harapkan, ada kalanya apa yang kita harapkan takkan sama dengan apa yang kita impikan kerana impian hanyalah ilusi, harapan hanyalah kemahuan yang kita cuba gapai, sedangkan segalanya belum tentu untuk dijadikan realiti.
Kasih sayang bukan hanya sekadar ucapan, bukan sekadar memiliki tapi ia adalah sesuatu yang memberi kita nilai untuk terus hidup, beri kita kekuatan dan makna sebuah perhubungan.

Petikan diatas adalah hasil nukilan Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator tersohor di Malaya. Dah lama aku simpan petikan nie..... rasanya sejak aku belum kenal suami aku lagi. Bila ada blog sendiri, aku pun upload ler. TQ Dr. Tuah.

1 ulasan:

  1. Kita perlu belajar redha dengan ketentuan Ilahi. Mengimpikan sesuatu ketika memiliki sesuatu yang kurang dari apa yang kita impikan boleh menjerat kepada sifat tidak menghargai pemberian. Fahami konsep bersyukur, bersangka baik dengan Allah kerana segala yang ditentukan ada rahmatNya. Syaitan mengajar manusia kepada sifat ini dengan angan-angan, keinginan nafsu semata-mata. Hidup adalah penghambaan kepada pencipta, perngorbanan dan meletakkan diri menerima apa seadanya.

    BalasPadam